Assalamualaikum | Welcome to My Blog | Sila Masukkan Address Blog Anda Dibawah Ini | Terima Kasih

Archives

Post

Perjanjian Hudaibiyah



Saya memohon untuk terus berkongsi idea dan pandangan tentang Perlembangaan Malaysia semasa penubuhannya. Mungkin boleh kita qiaskan kepada PERJANJIAN HUDAIBIAH DI MEKAH yang mana perjanjian ini kesinambungan selepas Piagam Madinah yang telah telah termeterai untuk menyatupadukan orang Islam Madinah dengan kaum Yahudi.Setakat yang tahu antara kita hanya membahaskan atau mengqiaskan dengan piagam madinah. Dalam Perjanjian Hudaibiyah dapat dirumuskan kepada 5 perkara penting :

1- Mereka bersetuju berdamai tanpa melibatkan sebarang peperangan selama 10 tahun. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak boleh bermusuhan.

2- Sesiapa di antara kaum Musyrikin Quraisy yang menganut Islam tanpa izin walinya [ibu bapa atau penjaganya] hendaklah kembalikan semula kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya iaitu agama menyembelah berhala.

3-Pihak kaum Musyrikin Quraisy tidak perlu mengembalikan semula andainya terdapat dikalangan orang Islam yang memihak Musyrikin Quraisy atau menganut agama menyembah berhala.

4-Setiap orang atau kabilah [suku kaum] bebas samada hendak menyokong kaum Musyrikin Quraisy atau orang Islam.

5-Umrah pada tahun tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan dengan syarat tidak membawa senjata dan tinggal di Makkah tidak lebih dari 3 hari.

Walaupun syarat penjanjian Hudaibiah lebih memihak kepada kaum Musyrikin Quraisy sehingga Saidina Umar R.A membantah tetapi Nabi s.a.w yang berpandangan jauh menerima syarat-syarat perjanjian ini kerana kesan positif dan hikmahnya dalam perkembangan politik di Madinah. Dengan penerimaan syarat-syarat tersebut Nabi s.a.w dapat menunjukkan sikap baik dan tolak ansur agama Islam kepada Kaum Musyrikin.Kesannya mereka akan tertarik dengan agama Islam.Apabila kaum Quraisy memeluk Islam,maka sudah tentu kota Makkah akan menjadi sebahagian daripada negara Islam.

Dilihat dari segi pelembangaan Malaysia ialah kompromi antara Melayu, Cina dan India yang dipersetujui oleh British. Melayu pula ditakrifkan dalam pelembangaan Malaysia mereka ialah seseorang yang menganut Agama Islam dan mengamalkan adat istiadatnya. Benarkah tidak disebut bangsa Melayu? Dengan maksudnya sesiapa yang lahir dalam keluarga Islam dan juga adalah Islam, itulah ditakrifkan sebagai Melayu dalam perlembagaan Malaysia, kerana itu malaysia juga membantu Selatan Filipina, Bosnia, Selatan Afrika dan lain-lain, itu dasar luar kita tidakkah kerana atas nama Islam?

Wajarkah sesetengah mereka mengatakan bahawa “Piagam Madinah” perlu di tegakkan di Malaysia beralasan perlembangaan Malaysia sekarang adalah sekular? Di mana keikhlasan umat Islam di Malaysia dengan menghujjah secara emosional bukan secara Ilmiah ?

Wallahu A`lam.
READ MORE--->

.:::. Mehnah-Mu Penghapus Dosaku .:::.
Post

Uslub Dakwah




Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Oleh kerana ia telah menjadi suatu perkara yang biasa disebut, maka ia tidak lagi berhajat kepada penghuraian.

Lantaran itu, hampir setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili.

Dari situ satu huraian lengkap berhubung dengan uslub dakwah diperlukan bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng dari landasan penafsiran. Ianya mestilah bermula dari Al-Quran yang telah dijamin kebenarannya oleh Allah s.w. t.

USLUB DAKWAH MENURUT AL-QURAN

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Setelah mereka berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana mereka boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah.

Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuham menyuruh mereka memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan.

Sebagaimana yang kita sebutkan sebentar tadi, perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

Dari itu, kesimpulan yang boleh kita buat ialah uslub bermaksud teknik-teknik yang boleh digunakan bagi mencapai sesuatu matlamat. Berdasarkan kefahaman ini ia lebih merujuk kepada pengertian yang agak khusus dan agak tertumpu kepada unsur -unsur kepakaran dalam menjalankan sesuatu tugas.

Jika disatukan pengertian ini dalam konsep gabung jalin antara kalimah uslub dan dakwah, maka ia bermaksud teknik-teknik yang perlu diambil kira dalam proses menyampaikan dakwah dan menyeru manusia kepada jalan Allah atau lebih khusus lagi kepada pengabdian diri kepada Allah, menjauhi taghut, melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya.Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah

b)Nasihat-nasihat yang baik

c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

•Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

•Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

•Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.


USLUB NASIHAT YANG BAIK

Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran: 137)


USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK


Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan.

Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya.

Satu hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan.

Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menghadapi hujah-hujah dari golongan Islam. Contoh mudah ialah mana- mana forum di universiti tempatan yang menjemput wakil PAS maka wakil UMNO pasti akan menolak atau menarik diri dari hadir. Sedangkan mereka adalah pemerintah dan mereka dianggap sebagai orang yang berkuasa.

Contoh kedua ialah peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam a.s. iaitu antara Qabil dan Habil. Qabil sanggup membunuh adik kandungnya sendiri lantaran kerana hilang pertimbangan antara akal dan nafsu.

PENUTUP

Sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’I tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad’u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.
READ MORE--->

.:::. Mehnah-Mu Penghapus Dosaku .:::.
Post

5 Perkara Elok Disebut


Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu: 

1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. 

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati. 

2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.


3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.


Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...
READ MORE--->

.:::. Mehnah-Mu Penghapus Dosaku .:::.
Related Posts with Thumbnails
Selamat Datang ke aljanggut.blogspot.com Dijemput kepada sahabat-sahabat untuk menghantar sebarang artikel ilmiah iaitu di aljanggut@yahoo.com, artikel tersebut akan dinilai sebelum dipaparkan di sini -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

About Me

My photo
Selangor, Kelantan, Laut Merah, Germany
|.::Kuliyyah of Theology, Major In Belief & Philosophy::.|.::Kuliyyah of Arabic, International Islamic University Malaysia::.|

Chat Here

Visitors

Hye, anda tidak keseorangan di blog ini kerana sekarang Orang Sedang Menemani Anda!

Categories

About This Blog

Disclaimer

Please note that NONE of the files listed on this blog are stored on the site. We only serve to index contents available from other sites as a convenient and easy way for our visitors to find files that have been shared by their respective copyright owners.

As such, we DO NOT claim ownership rights of any documents and/or materials accessible or made available on this site, nor assume any responsibility for the contents on any externally-linked site or for any links on any externally-linked site. Use of this site is therefore solely at your own discretion.

If you believe that your copyrighted material may have been unintentionally infringed, please write to us directly for immediate removal.

::. aljanggut .::

Money Exchange