Assalamualaikum | Welcome to My Blog | Sila Masukkan Address Blog Anda Dibawah Ini | Terima Kasih
Post

Menyelusuri Kehidupan Pelajar Malaysia di Al-Azhar, Mesir


Zainal Abidin Kadir (tengah) bergambar bersama pelajar baru Program Khas Pra Al-Azhar di Dewan Malaysia Abbasia, Kaherah, baru-baru ini.


Mesir bukan saja dikenali dunia sebagai tempat yang pernah menyaksikan tamadun terawal malah dalam dunia Islam ia dikenali sebagai bumi para anbia kerana kebanyakan nabi dan rasul diutuskan Allah di sini.
 
Sehingga kini Mesir masih menjadi tumpuan pelancong dan mereka yang ingin melanjutkan pengajian yang lebih mendalam tentang Islam yang sudah tentunya memilih Universiti Al-Azhar yang juga universiti kedua tertua di dunia.

Peluang mengikut rombongan Amanah Raya Berhad (ARB) menghantar 24 pelajar baru mengikuti Program Khas Pra Al-Azhar di universiti tersebut membuka mata mengenai keadaan para pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Mesir.

Sebenarnya ribuan pelajar Malaysia sudah ke Al-Azhar namun kebanyakan mereka, baik yang sudah pulang ke tanah air atau masih belajar di sana mengakui berdepan dengan pelbagai masalah ketika memulakan pengajian ataupun ketika pengajian.

Pada majlis makan malam bersama Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir di kediamannya di El-Anaab Street, Kaherah, beliau mendedahkan terdapat tiga masalah yang biasa berlaku pada pelajar kita iaitu lemah Bahasa Arab, penghantaran pelajar yang kurang berkualiti dan masalah kewangan pelajar.

"Al-Azhar pada masa akan datang mungkin akan mengadakan peperiksaan khas kemasukan seperti TOEFL dan TESL seperti yang dijalankan oleh universiti di Amerika Syarikat dan England bagi memastikan hanya pelajar terbaik yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti tersohor tersebut," kata beliau kepada Mega, dalam pertemuan baru-baru ini.

Ujar Zainal, semua pelajar agama mempelajari pertuturan dan penulisan Bahasa Arab, keadaan di Mesir adalah berlainan kerana mereka menggunakan dialek pasar iaitu 'amiyah' yang bukan saja laju malah banyak perbezaan berbanding bahasa standard Arab yang dikenali sebagai 'fushah' yang pelajar kita pelajari sebelum ini.

Ini bermakna walaupun kita menghantar seorang pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam Bahasa Arab, dia pasti 'terkejut' dengan bahasa yang digunakan setibanya dalam kuliah pertama dan memakan masa dua hingga tiga bulan untuk memahami 'amiyah'.

Perkara ini diakui oleh El-Hakiem Rachiemi dari Riau, Indonesia yang telah tinggal di Mesir selama 16 tahun.

"Pada mulanya sedikit sukar, namun asas Bahasa Arab yang kuat membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan bahasa setempat.

"Sebenarnya, Mesir adalah tempat yang menarik sekiranya kita mampu berkomunikasi. Saya sendiri masih menyambung pengajian di Al-Azhar dan pada masa sama sudah berkahwin serta dikurniakan empat anak," katanya yang turut menjalankan perniagaan bagi menampung pengajian dan keluarga.

Dari satu sudut, ia merupakan pendedahan baru kepada pelajar kita yang melanjutkan pelajaran di sana namun pada masa sama masalah itu turut menjejaskan kualiti pembelajaran mereka kerana masa yang diambil bagi menyelesaikan masalah bahasa tersebut.

Muhammad Naqiuddin Ismail, 18, pelajar baru program tersebut berkata, kesukaran dari sudut bahasa adalah perkara biasa yang dilalui ketika belajar di tempat orang namun ia bukan satu alasan untuk tidak memajukan diri.

"Sebagai pelajar, kita perlu berusaha mempelajari bahasa tersebut dan asas Bahasa Arab yang tinggi ketika di Malaysia banyak membantu dalam hal tersebut," katanya.

Menjadi pensyarah
Tidak kurang juga yang kembali ke tanah air namun masih menganggur, menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah agama ataupun yang bernasib menjadi pensyarah universiti kerana lulusan bidang agama dianggap hanya boleh menjawat profesion sedemikian.

Kurangnya tumpuan terhadap bidang agama di Malaysia juga adalah antara faktor yang secara tidak langsung menyumbang kepada masalah kewangan pelajar di Al-Azhar kerana kekurangan biasiswa dan penajaan.

"Insya-Allah, program khas Al-Azhar ini akan melahirkan ulama pelapis yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan saya sebagai pelajar baru akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita saya," kata Muhammad Fikri Amiruddin, 18, yang baru beberapa hari berada di Kaherah.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menegaskan, biasiswa dan penajaan pelajar ke Al-Azhar juga boleh diperoleh melalui Baitulmal kerana salah satu asnaf zakat adalah kepada mereka yang berjuang di jalan Allah.

Setakat ini ARB muncul syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menaja 20 daripada 100 pelajar dalam bidang pengajian Islam universiti itu yang terdiri dari lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang 9A dan 10A.

Kesemua pelajar ARB turut menikmati wang biasiswa pertama mereka beberapa hari sebelum pengajian bermula 12 Oktober lalu. Kesempatan itu diambil untuk membeli-belah di kawasan perniagaan berhampiran iaitu di Atabah, Husin dan Hanif Khalili.

Sebenarnya cara hidup dan kos perbelanjaan harian di kota seribu masjid ini memudahkan pelajar kerana RM1 bersamaan dengan lebih kurang 1.6 pound Mesir ataupun 'junaih', ditambah lagi dengan harga barang yang murah di sini.
"Pelajar senior memberitahu kami perlu membeli baju sejuk dan selimut kerana musim sejuk semakin hampir.

"Jadi sebahagian daripada duit biasiswa yang diterima hari ini kami akan membelanjakan sedikit untuk membeli barang-barang keperluan," kata Siti Noor Farahin Fariddudin.

Pakaian harian daripada kasut, baju, minyak wangi dan pelbagai barangan lain dijual dalam beberapa kawasan pasar-pasar murah yang lebih besar daripada Petaling Street ataupun Jalan Chow Kit sehingga mampu membuat sesiapa saja longgar lutut.

Kawasan pasar yang besar ini memang berpadanan dengan jumlah penduduk di Kaherah yang mencecah 28 juta penduduk iaitu bersamaan dengan populasi Malaysia sendiri.

Lumrah
Warden di Dewan Malaysia Abbasia yang menempatkan pelajar kita di Mesir, Azahari Yaacob berkata, kota yang padat dengan manusia dengan keadaan trafik yang tidak sistematik ini adalah perkara yang akan menjadi lumrah kepada pelajar-pelajar.

"Ramai pelajar yang sudah tamat pengajian kembali semula ke sini kerana rindu dengan bumi Mesir, ditambah lagi dengan budayanya yang menarik seperti sambutan Ramadan yang meriah dengan hidangan berbuka percuma di masjid setiap hari," katanya lagi.

Meninggalkan para pelajar tersebut di hostel Dewan Malaysia Abbasia supaya mereka dapat melakukan persediaan memasuki kuliah, baki dua hari dimanfaatkan untuk melawat beberapa tempat bersejarah di sini.

Lokasi pertama iaitu makam Imam Syafie agak menyedihkan kerana kawasannya yang kotor sedangkan penduduk Islam Mesir juga mengamalkan mazhab imam tersebut.

Antara kawasan menarik lain yang dilawati ialah Kubu Salahuddin Al-Ayyubi yang tersergam di atas bukit dengan pemandangan Kaherah.

Kali pertama melihat piramid dari jarak dekat juga membibitkan rasa insaf kerana ketamadunan yang hebat suatu masa dulu ini musnah akibat pemimpinnya yang kekal kufur dan enggan menyembah Allah.

Masakan tidak, sehingga kini teknologi moden pun gagal membina bangunan piramid dari zaman tamadun awal manusia sekali gus menunjukkan bahawa ilmu yang ada pada manusia sangatlah sedikit.

Tempoh lima hari berada di Kaherah memberi banyak makna dan meluaskan lagi pandangan tentang dunia Islam secara keseluruhan selain memberi gambaran sebenar kehidupan di bandar terbesar di Asia Barat ini.

Related Posts with Thumbnails
Selamat Datang ke aljanggut.blogspot.com Dijemput kepada sahabat-sahabat untuk menghantar sebarang artikel ilmiah iaitu di aljanggut@yahoo.com, artikel tersebut akan dinilai sebelum dipaparkan di sini -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

About Me

My photo
Selangor, Kelantan, Laut Merah, Germany
|.::Kuliyyah of Theology, Major In Belief & Philosophy::.|.::Kuliyyah of Arabic, International Islamic University Malaysia::.|

Chat Here

Visitors

Hye, anda tidak keseorangan di blog ini kerana sekarang Orang Sedang Menemani Anda!

Categories

About This Blog

Disclaimer

Please note that NONE of the files listed on this blog are stored on the site. We only serve to index contents available from other sites as a convenient and easy way for our visitors to find files that have been shared by their respective copyright owners.

As such, we DO NOT claim ownership rights of any documents and/or materials accessible or made available on this site, nor assume any responsibility for the contents on any externally-linked site or for any links on any externally-linked site. Use of this site is therefore solely at your own discretion.

If you believe that your copyrighted material may have been unintentionally infringed, please write to us directly for immediate removal.

::. aljanggut .::

Money Exchange