Amanah Allah Kepada Ibu Bapa
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang-orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika kedua-duanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa-apa juga yang kamu lakukan.”
Daripada firman ini Allah Allah mengamanahkan ibu bapa supaya bertanggungjawab kepada anak-anak mereka:
Pertama, ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap atau kurang dua tahun, tetapi kurang sempurna.
Kedua, sungguhpun perintah demikian, namun seseorang ibu tidak harus sampai menderita kerana anaknya. Jika keadaan uzur maka bolehlah menggantikan penyusuan itu dengan makanan yang lain.
Ketiga, boleh juga anak itu disusui oleh orang lain dengan jalan memberi upah yang patut. Jika dilakukan demikian maka jadilah yang menyusukan itu ibu susu.
Dalam firman Allah tersebut terdapat juga amanah Allah kepada kaum bapa, dan kepadanya hendaklah dilaksanakan tanggungjawab itu:
Pertama, bekerja mencari nafkah untuk keluarga termasuk anak isteri dan ibu bapanya jika masih hidup. Termasuk sebagai nafkah itu ialah makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sepatutnya.
Kedua, kewajipan bapa untuk mencari nafkah dan membiayai perbelanjaan hidup keluarganya adalah sekadar menurut kemampuannya. Jangan sampai menderita dan sengsara semata-mata kerana hendak berbelanja lebih untuk anak isteri.
Ibu bapa juga diamanahkan oleh Allah s.w.t supaya mendidik anak-anak mereka agar menjadi orang yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti serta bersopan santun. Ia dimulai dari adab makan minum, misalnya membaca Bismillah, makan tidak gelojoh, ambil makanan yang terdekat dahulu, makan jangan terlalu kenyang hingga perut membuncit dan emmbaca Alhamdulilah setelah selesai makan.
Selain cara makan minum, ibu bapa juga bertanggungjawab mengatur pakaian mereka yang sesuai misalnya antara anak lelaki dan anak perempuan. Jangan biarkan anak lelaki memakai pakaian serta perhiasan seperti anak perempuan, demikian juga sebaliknya. Ibu bapa juga diamanahkan oleh Allah s.w.t agar mengawal pergaulan anak-anak mereka supaya tidak terpengaruh oleh cara hidup yang ridak sejajar dnegan ajaran Islam. Pergaulan biasanya amat mudah mempengaruhi jiwa anak-anak itu. Jika mereka bergaul dengan anak-anak nakal atau jahat, maka mereka kelak akan terikut-ikut demikian. Jika mereka bergaul dengan anak-anak orang yang kaya maka anak-anak kita juga inginkan kesenangan seperti mereka sedangkan ibu bapa tidak mampu.
Menjadi amanah Allah s.w.t. kepada ibu bapa agar memberi pelajaran agama Islam termasuk mengaji dan memahami kitab suci al-Quran serta didikan mendirikan sembahyang dan ibadat-ibadat lain yang diwajibkan mulai kecil lagi. Sekiranya ibu bapa tidak dapat mengajarnya sendiri maka tugaskanlah kepada seorang guru atau ustaz untuk menyempurnakannya.
Post a Comment